Dialog Shangri-La: PM gesa masyarakat antarabangsa tegas, konsisten dalam isu Gaza
SINGAPURA – Masyarakat antarabangsa digesa bertindak tegas dan konsisten dalam usaha menyelesaikan konflik di Tebing Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skala kemusnahan di sana yang secara terang-terangan tidak mengendahkan norma kemanusiaan, serta kegagalan institusi global dalam menangani konflik tersebut, menuntut lebih daripada sekadar luahan simpati.
“Kita tidak boleh membiarkan kemarahan terpilih atau kelesuan strategik mengaburi kejelasan moral kita. Sesungguhnya, pembunuhan beramai-ramai di Gaza satu ujian terhadap kesedaran kolektif kita,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian dalam Ucapan Khas beliau ketika Dialog Shangri-La ke-22, di sini hari ini.
Berkenaan krisis di Myanmar, Anwar menegaskan ASEAN tidak bersikap pasif dalam menangani isu berkenaan.
Walaupun blok serantau itu tidak berniat untuk menentukan hala tuju politik negara tersebut, ASEAN tetap berpegang teguh kepada jangkaan yang digariskan dalam Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.
“Pembinaan negara Myanmar mesti dipupuk menerusi keterangkuman, bukan pengasingan,” kata beliau lagi.
Mengenai isu Laut China Selatan, Anwar berkata, Malaysia secara berterusan bimbang mengenai potensi peningkatan ketegangan dalam kalangan negara penuntut di kawasan tersebut dan akan terus berinteraksi dengan semua pihak secara tenang, langsung dan konsisten.
Dialog Shangri-La merupakan persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik, dan melibatkan penyertaan daripada 47 negara, termasuk 40 delegasi bertaraf menteri, 20 ketua angkatan tentera, lebih 20 pegawai kanan pertahanan, serta ahli akademik terkemuka dari seluruh rantau ini.
Terdahulu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth; serta Presiden Boeing Global merangkap Naib Presiden Kanan Boeing Company, Dr Brendan Nelson di luar sesi dialog berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








