Fikry Ibrahim sah bercerai, mahu ruang lalui fasa lebih tenang
KUALA LUMPUR – Selepas 173 hari memilih untuk berdiam diri, pelakon Fikry Ibrahim akhirnya mengesahkan rumah tangganya bersama Siti Khalizah Alihan berakhir dengan perceraian pada April lalu.
Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, berkata, keputusan untuk tidak mendedahkan perkara itu lebih awal dibuat bagi memberinya ruang untuk melalui fasa berkenaan dengan lebih tenang.
“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu.
“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.
“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Menurut Fikry, dia tidak mahu menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak berhubung perpisahan itu, sebaliknya memilih untuk menerima ketentuan Allah SWT.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” katanya.
Dalam perkongsian sama, bekas pengacara Melodi itu turut menitipkan doa buat bekas isterinya agar sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT serta dikurniakan kebahagiaan.
“Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Fikry turut mengakui Siti Khalizah pernah menjadi insan yang dicintainya dan sebahagian daripada perjalanan hidupnya, justeru dia memilih untuk mengenang hubungan tersebut dengan doa dan penghargaan.
“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Fikry mendoakan agar mereka berdua diberikan perlindungan dan keampunan serta dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas melalui fasa berkenaan.
“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Jitra, Kedah.
Beberapa bulan selepas berkahwin, Siti Khalizah dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Fikry di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Bagaimanapun, pada Jun lalu, Siti Khalizah dilaporkan menarik balik permohonan cerai yang difailkannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













