PH tawar geran khas, tambah pusat jagaan kanak-kanak untuk wanita bekerja di Melaka
MELAKA TENGAH – Kekurangan sokongan penjagaan anak antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan lebih ramai wanita berpeluang meneruskan kerjaya dan menjana pendapatan, terutama dalam kalangan golongan usahawan kecil di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, pihaknya menawarkan geran khas untuk peniaga wanita menerusi manifesto parti itu bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, bantuan berkenaan perlu mengambil kira keperluan sebenar pengusaha termasuk pembelian peralatan, penambahan stok serta peningkatan kapasiti pengeluaran.
Katanya, pemilihan penerima pula wajar dibuat berdasarkan kelayakan dan perancangan penggunaan dana yang munasabah, selain disertai bimbingan berkaitan pengurusan kos serta pemasaran.
“Matlamat inilah yang membantu pengusaha membina perniagaan yang lebih kukuh, mempunyai pelanggan berterusan dan mampu menyumbang kepada kestabilan kewangan isi rumah,” katanya dalam sidang media harian sempena PRN Melaka di sini hari ini.
Baca juga : Banjir Sungai Rambai: PH Melaka mahu projek tebatan dilaksana secara menyeluruh
Beliau berkata, usaha memperkasa usahawan wanita amat penting khususnya dalam kalangan peniaga kecil dan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang masih memerlukan pendedahan mengenai kaedah pemasaran produk secara dalam talian.
Katanya, latihan, pengetahuan dan sokongan teknikal perlu dipertingkatkan bagi membantu golongan itu mengembangkan perniagaan serta menjadi antara pemacu ekonomi keluarga.
Dalam masa sama, Adly berkata, PH turut mencadangkan penambahan pusat jagaan kanak-kanak kerajaan bagi membantu wanita bekerja.
Menurutnya, aspek lokasi, kemampuan bayaran, waktu operasi dan keselamatan perlu menjadi pertimbangan utama supaya kemudahan itu bersesuaian dengan rutin ibu bapa, termasuk mereka yang bekerja syif.
Beliau berkata, kemudahan penjagaan anak yang dipercayai penting bagi membantu wanita meneruskan kerjaya serta meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














