PRN Negeri Sembilan: Aminuddin Harun cabar kubu BN di Linggi
PORT DICKSON – Selepas hampir dua dekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kini menggalas cabaran baharu apabila berdepan saingan tiga penjuru bagi merebut DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Faizal Ramli serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
Zamri turut membuat penampilan kali kedua di DUN Linggi selepas bertanding di kawasan sama pada pilihan raya lalu.
Pengumuman pertandingan tiga penjuru itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daerah Port Dickson, Nurhazelin Makli di Pusat Penamaan Calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Aminuddin sebelum ini merupakan wakil rakyat DUN Sikamat sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon BN dengan majoriti 499 undi selepas memperoleh 6,036 undi. Pada PRU13 pula, Aminuddin sekali lagi memperthankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi menerusi 8,584 undi.
Kemenangan beliau semakin kukuh pada PRU14 apabila mencatat majoriti 3,413 undi dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN2023, Aminuddin sekali lagi berjaya mengekalkan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi apabila meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Bagaimanapun, pada PRN16 kali ini, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dipertaruhkan sebagai calon PH bagi kerusi DUN Linggi.
DUN Linggi sebelum ini dikenali sebagai kawasan yang menjadi kubu kuat BN apabila pada PRN2023, Mohd Faizal berjaya mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 7,832 undi, menewaskan Zamri yang ketika itu bertanding menggunakan logo PN dengan 6,371 undi.
Sebelum bertanding di DUN Linggi, Mohd Faizal pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang selama satu penggal pada 2004 selepas memenangi kerusi berkenaan dengan 5,967 undi, mengatasi calon Pas, Hassan Alias yang memperoleh 1,556 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















