JENAYAH & MAHKAMAH

Libas anggota polis guna parang, buruh dipenjara tujuh tahun dua sebatan

PASIR MAS – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang anggota polis dengan menggunakan sebilah parang pada minggu lepas.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Syahid Che Mat, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula dari tarikh ditangkap pada 17 Oktober lepas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Koperal Mohd Afiq Amran dengan sebilah parang dalam kejadian di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada jam 1.35 tengah hari, 17 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan parah selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JSJN IPK Kelantan bersama anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan. – BERNAMA

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button