JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur dipenjara tiga bulan hina Institusi Diraja di X

SEPANG – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Azman Hakim Hassanuddin, 35, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, penganggur yang tidak diwakili peguam itu didakwa membuat serta memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dan mengancam menerusi akaun X miliknya pada 19 Februari lalu.

Bagi empat pertuduhan, Azman didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada jam 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam sifatnya pada jam 3.46 petang dengan niat untuk mengugut mana-mana individu.

Kesemua hantaran berkenaan dikesan dan dilihat oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 20 Februari kira-kira jam 6.30 petang di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Peruntukan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad menegaskan kesalahan yang menyentuh isu raja, agama dan kaum atau 3R perlu dipandang serius kerana berpotensi memberi kesan besar kepada keharmonian masyarakat.

Menurut beliau, penghinaan terhadap agama atau kaum boleh mencetuskan kemarahan dalam kalangan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi Diraja pula boleh menjejaskan maruah serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Kita hormati Raja kita, ertinya kita melindungi Raja kita dan kita meletakkan di tempat yang tinggi.

“Apabila kamu melakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah Raja-Raja,” katanya dalam keputusan penghakiman di sini hari ini.

Sementara itu, Azman dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat berkaitan masalah psikiatri yang dihadapinya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta bertarikh 10 Ogos lalu, tertuduh didapati layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta berupaya membela diri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button