KEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC kesan 10,000 akaun palsu bawa isu 3R, hampir 1,000 dikesan setiap hari – Fahmi

PUTRAJAYA – Kira-kira 10,000 akaun palsu yang dikenal pasti membawa isu 3R (raja, agama dan kaum) dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diturunkan setakat semalam, dengan hampir 1,000 akaun seumpama itu dikenal pasti setiap hari sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kewujudan akaun palsu berkenaan berpotensi menyebarkan naratif palsu dan maklumat tidak benar, sekali gus perlu ditangani dengan usaha yang lebih berkesan.

“Setakat semalam saya difahamkan pihak MCMC telah kesan untuk diturunkan 10,000 akaun palsu yang dikenal pasti membawa isu-isu 3R. Akaun palsu 3R bukan dari awal tahun, daripada sebelum PRN Johor hampir setiap hari 1,000 akaun palsu dikesan.

“Dan apakah fungsi akaun palsu ini jika tidak membawa naratif palsu dan maklumat tidak benar? Sampaikan kandungan tidak betul, maka kita perlu lipat gandakan usaha kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bulan Ogos di sini hari ini.

Baca juga : Laporan RCI sebelum ini dibentang menteri bertanggungjawab, bukan PM – Fahmi

Fahmi berkata, akaun palsu berkenaan tidak wajar dianggap sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif kerana kewujudannya sebenarnya boleh membantutkan ekonomi negara.

“Apakah boleh kita anggap akaun palsu ini satu bentuk ekonomi kreatif? Ia sebenarnya membantut ekonomi kita. Kena banteras akaun palsu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh keperluan kerajaan membantu kementerian lain menerangkan dasar dan pencapaian kerajaan kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu yang lebih dekat dengan kehidupan seharian mereka.

Katanya, meskipun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif, terdapat isu setempat dan bersifat emosional yang lebih mendapat perhatian rakyat seperti jalan berlubang, jambatan rosak serta sekolah daif.

“Sekarang ini kita dapat kesan isu yang menggusarkan rakyat iaitu ketika kita sedang menguar-uarkan kepada rakyat mengenai ekonomi negara yang semakin meningkat, ada isu yang lebih dekat dengan mereka sama ada masalah setempat, isu jalan berlubang, jambatan rosak, sekolah daif atau isu yang bersifat emosional.

“Jadi tugas kita perlu tolong kementerian lain untuk fahamkan rakyat. Mungkin bagi mereka tidak sedar, rakyat kurang faham,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button