BISNES & EKONOMI

Pasaran buruh positif, kadar pengangguran turun 2.9 peratus

PUTRAJAYA – Bilangan penganggur aktif yang bersedia bekerja dan giat mencari pekerjaan berkurang sebanyak 7,500 orang kepada 405,100 orang pada Ogos 2026 berbanding 412,600 orang pada Julai lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh bagi Ogos 2026 yang diterbitkan hari ini memaklumkan, kumpulan itu merangkumi 79.2 peratus daripada keseluruhan penganggur di negara ini.

Perkembangan itu selari dengan penurunan kadar pengangguran negara kepada 2.9 peratus pada Ogos berbanding tiga peratus pada Julai, dengan jumlah penganggur berkurang 8,700 orang kepada 511,600 orang.

DOSM turut melaporkan bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.87 juta orang berbanding 16.85 juta orang pada bulan sebelumnya.

Seiring dengan perkembangan itu, jumlah tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.39 juta orang berbanding 17.37 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh naik kepada 71 peratus daripada 70.9 peratus.

Menurut DOSM, kategori pekerja yang membentuk 74.9 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja turut mencatatkan peningkatan marginal 0.1 peratus kepada 12.63 juta orang berbanding 12.62 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Sehubungan itu, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.2 peratus kepada 3.17 juta orang (Julai 2026: 3.16 juta orang),” menurut kenyataan itu.

Dalam kalangan penganggur aktif, 64.2 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala mereka yang mengalami pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi lima peratus.

Pada masa sama, bilangan penganggur tidak aktif yang beranggapan tiada pekerjaan tersedia berkurang 1.2 peratus kepada 106,500 orang berbanding 107,700 orang pada Julai.

DOSM turut memaklumkan kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun 0.1 mata peratus kepada 10.1 peratus, dengan bilangan penganggur dalam kumpulan itu berkurang kepada 291,300 orang berbanding 292,500 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran turut menurun 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus, manakala bilangan penganggur dalam kumpulan berkenaan berkurang kepada 394,600 orang berbanding 404,500 orang pada Julai.

Dalam perkembangan lain, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun secara marginal 0.1 peratus atau 4,500 orang kepada 7.11 juta orang pada Ogos.

Kerja rumah dan tanggungjawab keluarga menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan itu, iaitu 43.6 peratus, diikuti mereka yang bersekolah atau menjalani latihan sebanyak 40.2 peratus, manakala 16.2 peratus berada di luar tenaga buruh atas sebab lain termasuk persaraan dan hilang upaya.

DOSM berkata prestasi positif pasaran buruh yang berterusan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Melangkah ke hadapan, peningkatan produktiviti pekerja melalui pemerkasaan kemahiran dan penggunaan teknologi adalah penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button