BERITA SEMASA

Siti Asiah dilantik Ketua Perangkawan Malaysia ke-10

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi), Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10 berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin yang bersara wajib pada 7 Julai lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan Siti Asiah untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu disediakan dengan lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih awal serta melaksanakan intervensi secara lebih berkesan.

Siti Asiah, 51, mempunyai hampir 28 tahun pengalaman dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.

Sebelum dilantik ke jawatan itu, beliau menerajui penyediaan pelbagai statistik utama negara termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut memainkan peranan dalam beberapa inisiatif strategik negara seperti pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU), penyediaan statistik kos sara hidup dan usaha memperkukuh Sistem Statistik Negara.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kepakaran Siti Asiah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan beberapa organisasi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Ekonomi memaklumkan kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh menerusi pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button