PM ke China, perkukuh Diplomasi MADANI
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda Diplomasi MADANI menerusi lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China atas jemputan Premier China, Li Qiang.
Lawatan itu antara lain memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara Malaysia dengan China, selain menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke negara ini.
Anwar berkata, beliau dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama pemimpin China selain mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat terkemuka.
“Selain mesyuarat dua hala, pertemuan bersama wakil syarikat-syarikat terkemuka bakal diadakan demi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Dalam kunjungan ke Shanghai, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri WorldSkills Competition Shanghai 2026 bagi memberikan sokongan kepada peserta Malaysia yang menyertai pertandingan kemahiran berkenaan.
Sementara itu, Anwar akan ke Hangzhou untuk menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE), dengan Malaysia merupakan antara negara tetamu kehormat yang dijemput kerajaan China.
Menurut Anwar, penyertaan Malaysia dalam ekspo berkenaan turut mencerminkan kepentingan kerjasama dalam sektor perdagangan dan ekonomi digital antara kedua-dua negara.
“Moga lawatan kerja selama tiga hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








