Rohingya wajib patuh undang-undang Malaysia, tindakan tegas jika ingkar – PM
KUALA LUMPUR – Komuniti Rohingya di negara ini diingatkan supaya mematuhi segala undang-undang dan peraturan tempatan kerana kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelarian Rohingya perlu menghormati peraturan sedia ada termasuk melibatkan pembinaan bangunan, aktiviti perniagaan serta pentadbiran pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, kerajaan tetap akan bertindak terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang meskipun pada masa sama negara terus mengamalkan pendekatan berasaskan kemanusiaan terhadap nasib pelarian terbabit.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, Rohingya, mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita. Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan.
“Kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan. Tetapi saya harap dalam semangat itu semua, sementara undang-undang dihormati, kita akan tegas hal ini,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan peraturan berkaitan pembangunan dan bangunan dipatuhi.
“Tadi pun dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita bincang dengan Menteri Dalam Negeri. Kita tetap bertindak kalau ada pelanggaran.
“Kita juga akan bincang dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan itu melibatkan pihak perbandaran dan kerajaan negeri yang juga perlu bertegas,” katanya.
Pada masa sama, Anwar mengakui isu pelarian Rohingya merupakan cabaran kemanusiaan yang rumit kerana usaha menghantar pulang mereka ke Myanmar masih berdepan kekangan daripada pihak berkuasa negara itu.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus berusaha mencari penyelesaian termasuk meneroka penghantaran pelarian ke negara ketiga selain menguruskan proses kepulangan ke negara asal.
Menurut beliau, perkara berkenaan turut dibangkitkan dalam pertemuannya dengan kepimpinan Myanmar dan semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini.
Katanya, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip kemanusiaan, namun semua pihak yang berada di negara ini perlu menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








