BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tindakan pantas KDN bantu keluarga Allahyarham Koperal Hafizul dihargai

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peduli Masyarakat (PERMAS) merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas tindakan segera membela nasib keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Timbalan Pengerusi II PERMAS, Amin Auzaie Ibrahim berkata, keprihatinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam menangani insiden itu menunjukkan kecekapan dan rasa tanggungjawab tinggi terhadap penjawat awam, khususnya anggota keselamatan.

“Allahyarham bukan sekadar anggota polis, tetapi wira negara yang mempertahankan keamanan awam dengan keberanian serta semangat juang luar biasa.

“Kehilangan beliau adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah kepada negara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jaminan Menteri Dalam Negeri untuk menjaga kebajikan keluarga Allahyarham termasuk bantuan kewangan, sokongan psikososial serta pendidikan anak-anak adalah bukti kerajaan prihatin terhadap mereka yang berkhidmat mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan prinsip kebertanggungjawaban sosial kerajaan terhadap barisan hadapan negara.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan lebih 120,000 anggota barisan hadapan berada dalam kategori berisiko tinggi, khususnya dalam sektor keselamatan dan kesihatan awam.

“Oleh itu, perlindungan kebajikan mereka amat penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang efisien dan berintegriti,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Saifuddin dijadikan contoh kepimpinan dalam perkhidmatan awam.

“Ini contoh terbaik seorang menteri yang bukan sahaja menjalankan tugas secara rasmi, tetapi juga tampil sebagai pembela dan pelindung kepada barisan hadapan negara.

“Sokongan menyeluruh terhadap keluarga Allahyarham menunjukkan bahawa kerajaan tidak membiarkan wira-wira negara dilupakan selepas pengorbanan mereka, malah terus dihargai dan dikenang jasa mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button