BERITA SEMASA

Hujan lebat cetus banjir kilat di beberapa kawasan Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan hampir sejam petang tadi, menyebabkan sejumlah pengguna jalan raya berdepan kesukaran untuk meneruskan perjalanan.

Keadaan itu turut menyebabkan beberapa laluan dinaiki air, termasuk di sekitar Zoo Negara, Setiawangsa dan Wangsa Maju, manakala hujan sangat lebat turut dilaporkan berlaku di Ampang.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai mula berkongsi gambar dan rakaman keadaan hujan lebat serta beberapa jalan yang dinaiki air di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Seorang pengguna Threads, @Ermalawati berkongsi rakaman keadaan banjir kilat berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa yang menunjukkan beberapa kenderaan terpaksa meredah jalan yang dinaiki air.

Sementara itu, @Smhazry pula mendakwa berlaku banjir di bahu jalan menghala dari Zoo Negara, selain sebuah bas dilaporkan mengalami kerosakan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Banjir di tepi jalan arah dari Zoo Negara. Alhamdulillah, hujan lebat di Kuala Lumpur. Bas rosak di hadapan sedikit,” katanya.

Keadaan cuaca buruk turut dikongsikan pengguna @Babyy_qeem yang memuat naik rakaman hujan lebat di Wangsa Maju sehingga mengehadkan jarak penglihatan.

Di Ampang, pengguna @Iffankhairr memaklumkan hujan turun dengan begitu lebat sehingga beberapa mercu tanda berhampiran kediamannya sukar dilihat.

“Hujan lebat betul, hampir tidak nampak Ampang Point, Ampang Puteri dan Plaza Ampang City dari rumah saya,” katanya.

Dalam pada itu, cuaca buruk turut dilaporkan berlaku di Elmina, Selangor apabila sebuah acara di kawasan berkenaan terjejas akibat hujan dan ribut.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pada pukul 3.05 petang tadi yang berkuat kuasa sehingga pukul 6 petang.

Bagi Selangor, amaran berkenaan melibatkan seluruh negeri, selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button