JENAYAH & MAHKAMAH

AGC fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Rayuan lepas bebas Da’i Syed

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah bebas, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed daripada pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti alasan penghakiman panel hakim Mahkamah Rayuan yang memutuskan pembebasan Da’i Syed pada hari ini.

Menurut AGC, permohonan semakan itu akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

“Permohonan berkenaan akan berlandaskan prinsip perundangan serta kriteria dan ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan,” katanya.

AGC berkata, perkara itu turut merujuk kepada prinsip yang digariskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan menerusi kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd.

Sehubungan itu katanya, hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada wujud keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya.

AGC menegaskan pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dan kekal komited dalam memelihara keluhuran undang-undang serta memastikan keadilan ditegakkan menerusi saluran dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button