Anwar sedia dedah dokumen CSA, rakyat boleh nilai sendiri kandungan perjanjian
TANGGA BATU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak keberatan mendedahkan dokumen Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai kerajaan bersama 13 Ahli Parlimen pembangkang pada 31 Oktober lalu bagi membolehkan rakyat menilai sendiri kandungannya.
Katanya, ini kerana perjanjian seumpama itu bukan sesuatu yang asing dalam landskap politik negara, malah pernah dilaksanakan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan melibatkan beberapa parti politik termasuk PAS.
Menurutnya, tindakan yang sama bagaimanapun menerima reaksi berbeza apabila dilakukan oleh pihak berlainan, sekali gus memperlihatkan sikap tidak konsisten sesetengah pihak dalam menilai sesuatu keputusan politik.
“Ketika itu saya Ketua Pembangkang, kita tandatangan dengan Datuk Seri Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri ketika itu bersama PAS, UMNO dan BERSATU sekali.
“Ketika dia tandatangan kata halal, tetapi kita tandatangan, dia kata dajal. Inilah politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Aspirasi MADANI Melaka di DUN Klebang, Taman Bukit Rambai, di sini pada Khamis.
Anwar mengulas kritikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pemeteraian CSA sebagai pendekatan ‘dajal’ kerana didakwa mengkhianati amanah, selain desakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya kerajaan mendedahkan butiran perjanjian itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau telah meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menguruskan perkara berkenaan sebelum dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya tidak ada masalah. Dedahkan, ini yang ditandatangani dalam perjanjian. Ini orang yang tandatangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mempertahankan pendirian politik, sebaliknya menilai sesuatu tindakan berdasarkan akhlak dan tingkah laku.
“Kita dalam Islam ini bukan pada serban, bukan pada janggut. Pada akhlak. Orang nilai kita.
“Bayangkan orang bukan Islam tengok, Islam macam ini setuju dengan dia, halal. Tak setuju dengan dia, dajal. Tak boleh. Ini kita kena betulkan,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan pada minggu lalu memeterai CSA bersama 13 Ahli Parlimen pembangkang, terdiri daripada enam wakil Bersatu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat parti itu pada 2024.
Menerusi perjanjian berkenaan, kesemua mereka bersetuju memberikan sokongan kepada pentadbiran Kerajaan Madani sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian penting berkaitan Belanjawan 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














