Kerjasama Malaysia–Pakistan kukuhkan perpaduan dunia Islam, ekonomi, industri halal – Fahmi
KUALA LUMPUR – Komitmen Malaysia dan Pakistan untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan serta industri halal menjadi bukti hubungan erat kedua-dua negara terus utuh demi manfaat ekonomi dan perpaduan dunia Islam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui hasil pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin menegaskan hubungan persahabatan yang akrab serta aspirasi bersama untuk membina kerjasama lebih dinamik dan berdaya tahan.
“Pemimpin kedua-dua negara telah mengadakan mesyuarat dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
“Kedua-dua pihak antara lain berpuas hati
dengan usaha berterusan dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia–Pakistan (MPCEPA),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi berkata, Malaysia turut menyatakan hasrat meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan pembuatan negara itu.
Beliau menambah, kedua-dua negara juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang halal termasuk memudahkan pengiktirafan bersama pensijilan halal, memperkukuh rantaian bekalan makanan halal serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan tersebut.
“Insya-Allah, Malaysia dan Pakistan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi,” katanya.
Shehbaz tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri.
Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1957 dan hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














