BERITA SEMASALUAR NEGARA

Perang terbuka Pakistan–Afghanistan: Serangan udara gegar Kabul, Kandahar

KABUL – Ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan memuncak apabila Islamabad melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar utama Afghanistan termasuk ibu negara, Kabul, pada Jumaat.

Serangan itu disusuli pengisytiharan Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif bahawa kedua-dua negara kini berada dalam fasa ‘perang terbuka’ selepas berbulan-bulan terlibat dalam pertempuran berbalas di kawasan sempadan.

Tindakan tersebut dibuat selepas tentera Afghanistan menyerang pasukan sempadan Pakistan pada malam Khamis. Kerajaan Taliban pula mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan udara maut yang berlaku sebelum ini.

Di Kandahar yang merupakan pangkalan kepada Pemimpin Tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, wartawan melaporkan bunyi letupan kuat serta deruan jet pejuang memenuhi ruang udara selama lebih dua jam.

Menteri Maklumat Pakistan, Attaullah Tarar menerusi hantaran di platform X mengesahkan sasaran pertahanan Taliban di Kabul, wilayah Paktia dan Kandahar telah dibedil.

Dalam kenyataan berasingan, Khawaja Asif menegaskan Islamabad kini berdepan ‘konfrontasi habis-habisan’ dengan kerajaan pimpinan Taliban.

“Kesabaran kami sudah mencapai hadnya. Sekarang adalah perang terbuka antara kami dan kamu,” tegas beliau.

Di pihak Afghanistan, jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mengesahkan serangan udara tersebut namun mendakwa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beberapa jam sebelum serangan bermula, beliau mengumumkan “operasi ofensif besar-besaran” di sempadan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai pencabulan berulang kali oleh tentera Pakistan.

Kementerian Pertahanan Afghanistan memaklumkan lapan anggotanya terbunuh dalam serangan darat berkenaan. Selain itu, beberapa orang awam dilaporkan cedera berhampiran pintu sempadan Torkham, termasuk di sebuah kem pelarian di wilayah Nangarhar.

Mujahid turut mendakwa beberapa tentera Pakistan berjaya ditangkap hidup-hidup, namun dakwaan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri di Islamabad.

Konflik terbaharu ini merupakan rentetan serangan Pakistan di wilayah Nangarhar dan Paktika awal minggu ini yang menurut misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang awam.

Hubungan kedua-dua negara merudum sejak beberapa bulan lalu dengan pintu sempadan darat sebahagian besarnya ditutup susulan pertempuran berdarah pada Oktober lalu yang mengorbankan lebih 70 nyawa di kedua-dua pihak.

Islamabad sebelum ini menuduh Afghanistan gagal bertindak terhadap kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan Taliban.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button