BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lebih 20 maut dalam serangan paraglider tentera Myanmar

YANGON – Lebih 20 orang terbunuh dalam serangan udara menggunakan paraglider bermotor yang dilancarkan tentera Myanmar ketika orang awam mengadakan upacara nyalaan lilin antikerajaan di wilayah Sagaing, tengah Myanmar pada malam kelmarin.

Menurut Penyelidik Amnesty International Myanmar, Joe Freeman, serangan itu mengenai sebuah kampung di wilayah berkenaan sebanyak dua kali, ketika penduduk berkumpul bagi menyambut perayaan Buddha serta menuntut pembebasan tahanan politik.

“Ini adalah yang terbaharu dalam siri serangan yang sudah berlarutan hampir lima tahun sejak bermulanya rampasan kuasa tentera pada 2021.

“Ketika tentera berusaha mengukuhkan kuasa melalui pilihan raya yang dirancang tahun ini, mereka semakin menggandakan kempen kekejaman terhadap kumpulan penentang,” katanya lapor Al-Jazeera.

Walaupun angka rasmi korban belum disahkan, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa penggunaan paraglider bermotor untuk menjatuhkan bahan letupan ke kawasan awam adalah taktik yang sering digunakan oleh tentera Myanmar.

Myanmar kini terus dilanda perang saudara sejak 2021 antara kerajaan tentera dengan kumpulan penentang bersenjata dan organisasi etnik selepas rampasan kuasa menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Menurut anggaran PBB, konflik berlarutan itu telah mengorbankan lebih 75,000 orang dan menyebabkan lebih tiga juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Kumpulan hak asasi turut melaporkan bahawa tentera kerap menyasarkan penduduk minoriti etnik serta komuniti berhampiran kawasan kubu kumpulan bersenjata, termasuk di Chaung-U.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button