Lelaki maut ditetak di Bukit Kangkar dipercayai diperangkap – ibu
TANGKAK – Ibu kepada seorang lelaki berusia 38 tahun yang maut selepas ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang di Bukit Kangkar, Sungai Mati kelmarin mendakwa, anaknya diperangkap sebelum diserang secara kejam.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kim, 62, berkata, anaknya, Tong Wei Sheng telah dijemput ke sebuah restoran atas alasan perbincangan dan sempat memberitahu keluarga bahawa semuanya selamat sebelum insiden berlaku.
“Saya tak sangka pertemuan itu adalah satu perangkap untuk menamatkan riwayat anak saya.
“Keluarga kami tidak akan berdiam diri dan akan menuntut keadilan,” kata Kim memetik laporan Metro Online.
Terdahulu, penduduk kampung memaklumkan bahawa mereka terdengar kekecohan pada petang kejadian, kira-kira beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa sebelum mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan sebuah rumah.
BACA JUGA:
Lelaki maut ditetak di hadapan restoran
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tangkak menaiki sebuah trak pikap, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, polis sedang giat memburu tiga lelaki yang melarikan diri menaiki kereta jenis saloon berwarna putih.
Katanya, mangsa dikejar oleh suspek berhampiran sebuah kedai makan dan melarikan diri ke sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar.
“Mangsa dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang hingga parah, sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








