BERITA SEMASA

Seorang maut, lima cedera kereta elak anjing di Machap Baru

ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan ketika mengelak seekor anjing melintas jalan dalam kemalangan di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa warga asing berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki enam individu termasuk lima warga Indonesia dan seorang kanak-kanak tempatan berusia empat tahun.

Menurutnya, sebelum kejadian, kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Bukit Beruang menuju ke Tebong di Alor Gajah.

“Siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak anjing melintas jalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri dan terjunam ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki, manakala seorang wanita warga asing berumur 40 tahun cedera di tangan kanan dan kaki kiri.

Tambahnya, kanak-kanak terbabit hanya mengalami luka ringan, manakala dua lagi penumpang berusia 28 dan 52 tahun turut mengalami kecederaan di muka, tulang rusuk serta badan.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital berkenaan bagi proses bedah siasat,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPTD Alor Gajah, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button