BERITA SEMASA

Warga emas, anak saudara rentung dalam kebakaran rumah kedai tiga tingkat

KLANG – Seorang warga emas dan anak saudaranya ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai tiga tingkat di Taman Bayu Perdana di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.51 petang itu, dua lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.51 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba lapan minit kemudian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan tingkat dua sebuah bangunan kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.

“Berdasarkan maklumat keluarga, terdapat empat mangsa berada di dalam bangunan berkenaan ketika kejadian dan dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam.

“Selepas api berjaya dipadamkan, dua lagi mangsa yang terperangkap ditemukan pada jam 6.33 petang di dalam dua tandas yang berasingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 66 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

“Kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia di dalam tandas dan kematian mereka disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 10.15 malam untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Menurut Ashrul Riezal, kedua-dua mangsa yang maut merupakan bapa saudara dan anak saudara.

Sementara itu, dua mangsa yang berjaya diselamatkan mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pasukan Forensik JBPM bersama Unit K9 turut menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Premis berkenaan telah diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran JBPM untuk siasatan lanjut, manakala operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.05 malam,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button