JENAYAH & MAHKAMAH

Guru KAFA, YIT diperintah bayar RM47,000 kepada remaja cedera dihempas kerusi

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memerintahkan seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar keseluruhan RM47,000 kepada seorang remaja yang cedera parah selepas dipercayai dihempas dengan kerusi kayu dalam kejadian empat tahun lalu.

Hakim Yusrin Faidz Yusoff membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan dikemukakan mangsa yang kini berusia 13 tahun melalui ibunya, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang sebelum ini menolak tuntutan berkenaan.

Peguam mangsa, Mohd Hazwan Hamidun berkata, mahkamah memerintahkan guru terbabit, Ahmad Mursyidin Abdullah dan YIT membayar ganti rugi am RM30,000 serta kos RM17,000 kepada mangsa.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan pembayaran faedah sebanyak lima peratus setahun bermula dari tarikh saman difailkan pada Januari 2023 sehingga penyelesaian penuh kes.

Menurutnya, dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana gagal menilai keterangan dua saksi yang berada di dalam kelas sama ketika kejadian berlaku.

Mahkamah juga mendapati laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengesahkan kecederaan dialami mangsa berpunca daripada hentakan kuat.

Pada Januari 2023, mangsa yang ketika itu murid Tahun Tiga memfailkan saman terhadap guru KAFA terbabit atas dakwaan kecuaian sehingga menyebabkan tulang tibia atau fibulanya patah dalam kejadian di sebuah sekolah di Marang pada 6 Julai 2022.

Mangsa yang berusia sembilan tahun ketika kejadian diwakili ibunya sebagai plaintif dalam tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button