JENAYAH & MAHKAMAH

Restoran ingkar arahan tutup premis kerana kotor didenda RM4,000

KULAI – Sebuah restoran yang beroperasi 24 jam didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah gagal mematuhi arahan penutupan premis yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) susulan isu kebersihan.

Majistret R Salini turut memerintahkan pengurusan restoran itu menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, restoran di kawasan Indahpura itu didapati masih menjalankan operasi pada 28 Mac lalu walaupun arahan penutupan premis sedang berkuat kuasa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa sebelum itu menemukan najis tikus di dalam premis berkenaan, menyebabkan arahan pembersihan serta penutupan selama 14 hari dikeluarkan bermula 27 Mac hingga 10 April lalu.

Related Articles

Bagaimanapun, premis tersebut didapati masih beroperasi sehari selepas arahan penutupan dikuatkuasakan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKNJ, Mohd Aliff Tajuddin Zaidi manakala restoran itu diwakili peguam G Gopal Sriganesh.

Difahamkan, denda RM4,000 yang dikenakan mahkamah telah dijelaskan sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, JKNJ berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperhebatkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap premis makanan bagi memastikan tahap kebersihan serta keselamatan makanan sentiasa mematuhi peruntukan Akta Makanan 1983 demi melindungi kesihatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button