Lelaki mengaku bersalah ugut DBKL, dihukum denda RM6,000
KUALA LUMPUR — Seorang lelaki berusia 57 tahun didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkait ugutan terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan insiden melibatkan seorang peniaga belon yang tular pada akhir Mac lalu.
Tertuduh, Mustafa Sulaiman, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada 7 April lalu yang berpotensi mencetuskan kekacauan awam serta menggalakkan tindakan bermusuhan terhadap anggota penguat kuasa.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula melibatkan penghantaran mesej ugutan bunuh atau mencederakan mangsa melalui aplikasi WhatsApp, yang menyebabkan ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan anggota DBKL terbabit.
Ia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua.
“Perbuatan sebegini tidak wajar dijadikan saluran untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Diharap hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Siasatan mendapati ugutan dibuat melalui media sosial dan aplikasi pesanan ringkas selepas rakaman insiden membabitkan peniaga belon berkenaan menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Mustafa ditahan pihak polis pada 8 April lalu susulan laporan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan ancaman tersebut.
Tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








