AFC denda Selangor FC, Persib Bandung
KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman ke atas Selangor FC dan Persib Bandung susulan insiden ketika aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 November lalu.
Dalam kenyataan semalam, AFC memaklumkan
berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Selangor selaku tuan rumah perlawanan itu dikenakan denda keseluruhan sebanyak AS$15,250 (kira-kira RM62,174) membabitkan tiga kesalahan.
Kesalahan pertama adalah wakil kelab itu didapati menyebabkan kelewatan permulaan separuh masa kedua perlawanan selama satu minit dan 42 saat dengan Selangor FC diarahkan membayar denda sebanyak RM5,096 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Bagi kesalahan kedua, Selangor dihukum selepas dua penonton yang berkaitan dengan kelab itu menceroboh padang semasa perlawanan dan Gergasi Merah diarahkan membayar denda sebanyak RM28,539 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 65.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Kesalahan ketiga pula, Selangor FC juga diarahkan membayar denda sebanyak RM28,539 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
“Jumlah keseluruhan denda sebanyak AS$15,250 (kira-kira RM62,174) hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” menurut kenyataan AFC.
Sementara itu, Persib Bandung selaku pasukan pelawat dalam perlawanan itu dikenakan denda yang lebih tinggi iaitu kira-kira RM122,310 mengikut Artikel 65, Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana kelakuan penyokong.
Berdasarkan keputusan diputuskan AFC, 20 penonton yang berkaitan dengan kelab Indonesia itu didakwa menceroboh kawasan padang semasa perlawanan.
Dua lagi kesalahan adalah, tiga penonton yang berkaitan dengan kelab itu didakwa menceroboh padang semasa perlawanan dan penonton turut didakwa membaling kira-kira lapan objek ke dalam padang atau kawasan sekitar padang.
“Persib Bandung diarahkan membayar denda sebanyak AS$30,000 (RM122,310) kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 65.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








