BERITA SEMASA

PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu

PUTRAJAYA – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet selepas mengambil kira tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa dihadapi sektor berkenaan.

“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Steven bagaimanapun berkata, kerajaan akan menggunakan pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja PMKS, termasuk menerusi sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif.

“Matlamat kita jelas (iaitu) kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.

Pada 18 Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia, R Ramanan berkata, kerajaan sedang menyemak semula kadar gaji minimum RM1,700, dengan keputusan untuk mengekalkan atau menaikkan kadar itu akan dibuat Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara.

Katanya, semakan itu mengambil kira pendapatan garis kemiskinan, gaji penengah, indeks harga pengguna, produktiviti buruh dan kadar pengangguran.

Kadar gaji minimum RM1,700 dikuatkuasakan sejak Ogos 2025 dan terpakai kepada semua pekerja di Malaysia kecuali pembantu rumah dan perantis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button