[VIDEO] UKKM perkukuh peranan lahir profesional koperasi masa depan
KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan strategik dalam melahirkan tenaga profesional yang mampu memacu transformasi sektor koperasi dan keusahawanan negara.
Usaha itu diperkasakan menerusi pelbagai bentuk tajaan biasiswa dan bantuan pendidikan yang diyakini mampu memperluas akses pengajian kepada pelajar, di samping memperkasa pembangunan modal insan dalam bidang keusahawanan, pengurusan koperasi dan kepimpinan korporat.
Sokongan yang diterima itu turut mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap peranan UKKM dalam membentuk generasi profesional koperasi masa depan yang berdaya saing serta memenuhi keperluan industri dan ekonomi semasa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Canselor UKKM, Steven Sim Chee Keong berkata, perkembangan sektor koperasi negara yang semakin pesat memerlukan lebih ramai tenaga kerja profesional yang memiliki kepakaran dalam pengurusan, tadbir urus, kepimpinan korporat, inovasi dan pembangunan perniagaan.
“UKKM perlu terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan semasa industri koperasi serta memperkukuh daya saing sektor itu pada masa hadapan.
“Transformasi koperasi masa hadapan memerlukan penglibatan lebih ramai generasi muda, profesional dan teknokrat dalam kepimpinan serta tadbir urus koperasi,” katanya sempena Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Kedua UKKM di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC), di sini hari ini.
Sehingga kini, Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan tajaan biasiswa bagi tempoh tiga tahun yang memanfaatkan 16 pelajar UKKM, manakala Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) pula menaja 28 pelajar.
@malaysiatribune Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima tajaan pendidikan melebihi RM4.6 juta bagi memperluas akses pengajian dan memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dalam memacu transformasi sektor koperasi negara. #malaysiatribune #beritasemasa #koperasi
Pada majlis sama, seramai 26 graduan menerima diploma dan ijazah melibatkan lima program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepimpinan Korporat) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Majoriti graduan program sarjana terdiri daripada golongan profesional yang sedang berkhidmat dalam sektor koperasi dan korporat, sekali gus membuktikan UKKM bukan sahaja berperanan sebagai institusi akademik, malah menjadi platform pembangunan profesional yang relevan dengan keperluan industri.
Sehingga Disember 2025, gerakan koperasi Malaysia merekodkan perolehan RM81.62 bilion, meningkat 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Selaras dengan agenda pembangunan sektor koperasi negara, UKKM turut mendukung aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran serta inisiatif PowerUp10K yang menyasarkan peningkatan skala 10,000 perusahaan tempatan menjelang 2030.
Dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran praktikal, UKKM turut menubuhkan Koperasi Siswa dan Alumni UKKM Berhad bagi memberi peluang kepada mahasiswa dan alumni mengaplikasikan ilmu keusahawanan koperasi serta membina pengalaman dalam pengurusan organisasi dan perniagaan.
UKKM kini mempunyai akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi 10 program akademik dan merancang memperluaskan penawaran pengajian daripada peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD).
Universiti itu juga bakal melaksanakan Program Capaian Pendidikan Tanpa Sempadan (CEKAPs) mulai suku ketiga tahun ini menerusi pendekatan pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) melalui konsep ‘Campus in Your Hand’.
Selain itu, UKKM turut memperlihatkan komitmen terhadap agenda kemanusiaan dan pendidikan antarabangsa menerusi Program Penajaan Khas Pelajar Palestin bersama Yayasan ANGKASA dan Institut Koperasi Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







