Malaysia kemuka tiga keutamaan perkukuh usaha bina keamanan
NEW YORK – Malaysia mengemukakan tiga keutamaan bagi memperkukuh usaha pembinaan keamanan global termasuk memastikan proses itu diterajui negara, inklusif serta diterjemahkan kepada tindakan yang lebih terselaras.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keutamaan itu turut merangkumi usaha memperkukuh kapasiti negara dan modal insan bagi memastikan pembinaan keamanan memberikan kesan nyata kepada kehidupan rakyat.
Beliau berkata, pembinaan keamanan perlu dilihat sebagai proses berterusan dalam membina dan mengekalkan masyarakat yang aman serta inklusif, komuniti berdaya tahan dan ekonomi yang stabil.
“Pembinaan keamanan tidak seharusnya menunggu sehingga konflik tercetus atau sehingga konflik berakhir,” katanya ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam.
Mohamad kini berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Tegasnya, komitmen Malaysia menerusi resolusi 2025 Peacebuilding Architecture Review (PBAR) perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat.
Bagi keutamaan pertama, beliau berkata usaha pembinaan keamanan perlu diterajui negara sendiri, selain dilaksanakan secara bermakna dan inklusif.
“Sehubungan itu, Malaysia menyokong strategi pencegahan dan pembinaan keamanan yang diterajui negara sendiri, dilengkapi dengan diplomasi pencegahan dan pengantaraan,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan penyertaan wanita secara menyeluruh, sama rata dan selamat dalam usaha pembinaan keamanan.
Katanya, perkara itu antara sebab Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan 2025 di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sidang kemuncak berkenaan menegaskan kepentingan kepimpinan wanita dalam pembinaan keamanan, selain menggesa langkah lebih kukuh bagi mencegah dan menangani keganasan terhadap wanita.
Bagi keutamaan kedua, Mohamad berkata usaha Suruhanjaya Pembinaan Keamanan perlu diterjemahkan kepada tindakan yang diselaraskan, dengan pembangunan dan keamanan saling memperkukuh.
“Pembangunan mampan dapat menangani keadaan asas yang mencetuskan konflik, manakala kestabilan membolehkan pembangunan bertapak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia menyokong kerjasama lebih erat antara Suruhanjaya Pembinaan Keamanan dan Majlis Ekonomi dan Sosial PBB bagi meningkatkan keselarasan dalam usaha pembangunan, kemanusiaan dan pembinaan keamanan.
Katanya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan sokongan antarabangsa lebih responsif terhadap keutamaan negara, saling memperkukuh dan mampu memberikan impak lebih besar di lapangan.
Mengenai keutamaan ketiga, Mohamad berkata pembinaan keamanan perlu disokong dengan usaha memperkukuh kapasiti negara serta modal insan.
Beliau berkata Malaysia berkongsi pengalaman pembangunan dan kepakaran dengan negara membangun, termasuk negara yang sedang dalam proses pemulihan daripada konflik, menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
“Sejak 1980, lebih 38,000 peserta dari 144 negara telah mendapat manfaat daripada MTCP,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru negara anggota PBB untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha memupuk dan mengekalkan keamanan, sambil menegaskan bahawa keamanan merupakan tanggungjawab bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








