AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Lelaki terjatuh dari tingkat empat pusat beli-belah di Hanoi selepas persembahan tarian budaya Malaysia

HANOI – Seorang lelaki dilaporkan terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di sini dalam satu kejadian mencemaskan yang berlaku sejurus selepas persembahan tarian kebudayaan Malaysia berlangsung di lokasi tersebut, Ahad lalu.

Insiden terbabit tular di media sosial apabila rakaman video menunjukkan mangsa terjatuh ke atas pentas utama dalam keadaan tidak sedarkan diri, selepas persembahan yang disaksikan ratusan pengunjung termasuk kanak-kanak dan keluarga.

Menurut laporan portal Tuoi Tre, wakil pengurusan pusat beli-belah berkenaan memaklumkan mangsa telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kejadian dan tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini,” memetik laporan itu.

Katanya lagi, mangsa dipercayai mengalami kecederaan serius, namun keadaan terkini belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, beberapa pengunjung yang berada di tempat kejadian dilihat cuba membantu mangsa sementara menantikan pasukan kecemasan tiba.
Untuk rekod, ini bukan kejadian pertama seumpama itu berlaku di Vietnam.

Terdahulu, beberapa insiden sama pernah dilaporkan berlaku di Van Hanh Mall, Bandar Ho Chi Minh, melibatkan individu yang terjatuh atau terjun dari tingkat atas.

Susulan kejadian berulang, pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan dilaporkan telah mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk pemasangan jaring keselamatan di bahagian atrium.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala identiti mangsa belum didedahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button