BERITA SEMASA

Malaysia-Australia perkukuh kolaborasi pertahanan, meterai sokongan logistik

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuh hubungan pertahanan daripada sekadar kerjasama kepada kolaborasi yang lebih erat dan strategik dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles di Geelong, sebelum kedua-duanya mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) ke-6.

Menurutnya, hubungan pertahanan Malaysia-Australia yang telah terjalin sejak sekian lama berasaskan kepercayaan dan keyakinan bersama, termasuk melalui pengalaman ketika perang dan masa aman.

“Kepercayaan yang telah terbina selama ini akan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih praktikal, memberikan manfaat nyata serta memperkukuh keupayaan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara perkara dipersetujui ialah meningkatkan kolaborasi daripada pelaksanaan latihan kepada perancangan lebih bersepadu bagi meningkatkan kesiapsiagaan untuk beroperasi secara bersama.

Katanya, langkah itu penting dalam memperkukuh kesalingoperasian, kesiapsiagaan operasi dan pembangunan keupayaan kedua-dua angkatan tentera.

“Operation Gateway akan terus diperkukuh melalui perkongsian maklumat dan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR), penglibatan lebih besar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aktiviti operasi serta peningkatan kesiapsiagaan teknologi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia-Australia Joint Defence Programme (MAJDP) turut akan diperkasakan, khususnya dalam industri dan teknologi pertahanan, pembangunan keupayaan, inovasi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selain daya tahan rantaian bekalan pertahanan.

“Kerjasama dalam bidang siber juga akan dipertingkatkan menerusi pengintegrasian elemen siber dalam latihan dua hala serta penggerakan Cyber Working Group sebagai mekanisme khusus bagi memperluas kerjasama praktikal,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Strategic Planning Committee (SPC) akan memainkan peranan penting bagi menterjemahkan perkara yang dipersetujui kepada tindakan susulan yang jelas dan memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan.

Selain itu katanya, Kerjasama kedua-dua negara turut diperluas kepada bidang strategik dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi dan tanpa pemandu, pengawasan maritim, teknologi angkasa serta inovasi pertahanan.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan Australia turut memeterai Mutual Logistics Support Arrangements (MLSA) pada hari terakhir lawatan kerja beliau ke Australia dari 16 hingga 18 September.

Menurutnya, pemeteraian MLSA itu membolehkan kedua-dua negara saling memberikan sokongan logistik dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan operasi.

“Hasil HLC kali ini mencerminkan fasa baharu hubungan pertahanan Malaysia-Australia, daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih erat berasaskan kepercayaan dan kebersamaan yang telah dibina selama ini.

“Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan ini agar kekal relevan, berdaya tahan dan mampu mendepani cabaran keselamatan masa hadapan,” katanya.

Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah; serta Ketua Pengarah Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman, bersama pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button