Pengampunan Najib: BERSATU desak kerajaan perincikan syarat tahanan di rumah
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendesak Kerajaan agar menjelaskan secara terperinci kerangka undang-undang, tatacara, serta kriteria pelaksanaan tahanan di rumah berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu amat penting bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang serta mengelakkan timbulnya persepsi layanan dua darjat antara golongan berpengaruh dengan rakyat biasa.
Menurut Azmin, BERSATU kekal tuntas dalam perjuangan menentang kleptokrasi, rasuah, dan salah guna kuasa yang menjadi asas utama penubuhan parti itu.
”BERSATU menegaskan bahawa khazanah negara bukan ladang jarahan. Mereka yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Negara.
“Kami sentiasa berpegang kepada prinsip negara hukum dan menegakkan prinsip keadilan tanpa membezakan darjat atau pangkat,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa BERSATU tetap menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa untuk memberi ampun, menunda, atau melegakan hukuman kepada mana-mana banduan yang berhak memohon mengikut proses undang-undang.
Mengulas lanjut, Azmin menyatakan bahawa BERSATU memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan masyarakat mengenai pelaksanaan hukuman berkenaan.
Justeru, beliau menggesa Kerajaan supaya tidak merahsiakan syarat-syarat yang dikenakan terhadap Mohd Najib bagi menjamin ketelusan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan.
”Penjelasan ini penting supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat satu bentuk layanan bagi golongan bangsawan dan satu lagi bagi rakyat biasa.
”Bagi menjamin ketelusan, BERSATU mendesak supaya semua syarat-syarat yang dikenakan ke atas Dato’ Sri Mohd Najib termasuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan memberikan perincian yang jelas boleh menimbulkan keresahan serta kemarahan rakyat yang akhirnya berisiko menggugat integriti badan kehakiman dan sistem perundangan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








