Kes 1MDB: 4 surat derma Arab diguna dalam pembelaan Najib adalah palsu
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini memutuskan empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika menyampaikan keputusannya, berkata tiada sebarang pengesahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri bagi memastikan dana diterimanya benar-benar daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.
Beliau berkata, surat-surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.
Sequerah berkata, bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu hanya bersandarkan kepercayaannya kepada kerabat diraja Arab Saudi dan tiada bukti menunjukkan dana itu sepatutnya disalurkan secara berperingkat.
“Dalam pembelaannya, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Almarhum Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan,” katanya memetik laporan BH online.
Justeru, katanya, tindakan itu satu cubaan oleh tertuduh untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan derma.
Sequerah berkata demikian ketika membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dihadapi Najib.
Hakim menambah, jejak transaksi menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui syarikat persendirian pihak ketiga, iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang dimiliki Eric Tan Kim Loong (sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low).
Beliau bagaimanapun menegaskan, tiada sebarang pengesahan bertulis atau surat penghargaan dihantar kepada keluarga diraja Arab Saudi, yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Surat derma Arab adalah satu percubaan untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan oleh tertuduh, namun kandungannya tidak menyokong naratif bahawa dana itu adalah sumbangan.
“Saksi pembelaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung bahawa Almarhum Raja Abdullah berhasrat menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib.
“Kebolehpercayaan saksi pembelaan tidak membantu kes pembelaan,” katanya turut membangkitkan isu berkaitan keterangan delegasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khususnya kenyataan Kim Loong yang dirakam berdasarkan kenyataan disediakan lebih awal.
Selain itu, tiada sesi soal jawab sebenar dengan pihak Arab Saudi, yang didakwa telah diatur sebelum ketibaan delegasi.
Sequerah menegaskan, naratif derma atau sumbangan itu juga tidak direkodkan dalam Minit Mesyuarat Kabinet.
“Najib mempunyai sumber untuk mengesahkan kesahihan dana itu, namun memilih untuk menutup mata secara sengaja. Oleh itu, dana berkenaan adalah sangat meragukan,” katanya.
Mahkamah memutuskan bahawa naratif sumbangan Arab adalah tidak berasas dan dana berkenaan sebenarnya berasal daripada 1MDB.
Selepas Sequerah membacakan penghakiman selama dua jam 30 minit, mahkamah berhenti rehat untuk solat Jumaat sebelum bersambung pada jam 3 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








