BERITA SEMASA

Malaysia tak wajar tanggung isu Rohingya sendirian – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak lagi boleh memikul tanggungjawab menangani isu pelarian Rohingya secara bersendirian, sebaliknya perkara itu perlu dibawa ke peringkat ASEAN bagi mendapatkan penyelesaian bersama, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, isu Rohingya di Malaysia kini boleh dianggap sebagai ‘bom jangka’ yang semakin membesar dari tahun ke tahun sekiranya tiada tindakan tegas dan adil diambil untuk menanganinya.

“Isu Rohingya di Malaysia adalah bom jangka. Tetapi bom jangka ini sudah meletup dari tahun ke tahun dan kalau kita tidak tegas dan adil untuk bertindak bakal membawa masalah dan padah yang lebih besar bukan setakat berkenaan senario politik negara tetapi moral Malaysia secara keseluruhan.

“Malaysia dari tahun ke tahun, secara baik, secara adil mengikut dasar perikemanusiaan, telah menerima ratusan ribu pelarian bukan setakat Rohingya ataupun daripada Myanmar tetapi di negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada sesi penerangan Pengurusan Pelarian di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq berkata, Malaysia sebelum ini turut menerima pelarian daripada konflik di Vietnam berdasarkan dasar kemanusiaan dengan janji bahawa negara ini hanya menjadi destinasi sementara sebelum mereka ditempatkan semula di negara maju.

“Sebagai contohnya sebelum ini apabila ada perang di Vietnam, ramai mangsa-mangsa ini akhirnya lari ke Malaysia dengan dasar dan janji bahawa akhirnya destinasi terakhir Malaysia adalah penempatan semula di negara-negara maju.

“Pelan ini berjaya sebab itu kita tidak lihat masalah besar khususnya dalam kalangan komuniti Vietnam.

“Tetapi bagi komuniti Rohingya, ada dua janji yang telah diberikan tetapi janji yang tidak tertunai yang akhirnya membawa padah yang besar kepada Malaysia, negara yang mengamalkan sistem yang lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah pembahagian tanggungjawab antara Malaysia, negara jiran dan negara maju dalam menangani isu berkenaan.

“Janji pertama, bahawa tanggungjawab ini perlu digalas bukan setakat oleh Malaysia tetapi negara-negara jiran dan juga negara-negara maju.

“Kalau kita lihat contohnya angka, Malaysia walaupun saiz dan populasinya jauh lebih kecil daripada negara-negara jiran, kadar rasmi 130,000 Rohingya di Malaysia. Tidak rasmi melangkaui 200,000.

“Tetapi kita lihat contohnya di Indonesia kurang 2,600. Di Thailand kurang 500. Di negara sebesar India kurang 20,000.

“Tetapi di Malaysia melangkaui 200,000. Ia menunjukkan bahawa janji tidak tertunai, Malaysia akhirnya perlu serap segala masalah tetapi diserap sekadar berseorangan sambil yang lain kekal bahagia. Seperti kita sahaja yang perlu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Syed Saddiq berkata, satu lagi janji yang perlu ditunaikan membabitkan peranan UNHCR dan negara maju untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi sementara bagi proses dokumentasi sebelum pelarian ditempatkan semula di negara lain.

“Kedua, janji daripada pihak seperti UNHCR dan negara-negara maju. Apa janji mereka? Mereka katakan bahawa Malaysia boleh dijadikan tempat sementara untuk proses dokumentasi sebelum penempatan semula kepada negara-negara maju yang lain seperti apa yang dilakukan sebelum ini.

“Kepada pelarian daripada Vietnam. Tetapi apa yang berlaku? Malaysia dari tahun ke tahun jumlah angkanya bertambah sampai ke tahap di mana ia sudah mencapai tahap kemuncak atau tidak boleh berpatah balik.

“Kita sudah mencecah angka 200,000. Berapa negara-negara maju ambil? Kurang 1,000. Kurang 1,000.

“Ini negara yang jauh lebih kaya, KDNK mereka jauh lebih tinggi, institusi mereka jauh lebih kukuh, situasi kewangan kesihatan mereka jauh lebih baik tetapi janji tidak ditunaikan. Lagi sekali, Malaysia pula yang dikritik, dikecam oleh media-media Barat seperti kita tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira pendekatan negara lain dalam menguruskan isu pelarian.

“Padahal kalau kita lihat di negara mereka jauh lebih teruk. Bukan setakat mereka dari tahun ke tahun makin lama makin kurang mengambil tetapi kita lihat di Eropah contohnya.

“Mereka sambil terus mengusir pelarian yang datang ke negara mereka. Di United Kingdom pada hari ini, perbahasan masih diteruskan. Mereka yang dimasukkan ke dalam hotel ataupun pusat sementara, diusir keluar.

“Tidak pula dipanggil tidak berperikemanusiaan dan tidak adil. Tapi Malaysia yang memberikan tempat tunjukkan perih kemanusiaan dikutuk, dikecam, walhal kita negara tunggal yang mengambil jumlah yang terbesar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button