Usaha luar cuba jejas kepentingan negara, PM minta rakyat kekal waspada
KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta supaya berwaspada susulan pendedahan mengenai wujudnya usaha dari luar negara yang bekerjasama dengan kelompok dalam negara ini untuk menjejaskan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gerakan pihak tertentu itu dipercayai timbul susulan kelantangan suara rakyat dan kerajaan Malaysia dalam menentang keganasan rejim Israel, khususnya berkaitan isu Gaza dan Palestin, selain perkembangan terkini melibatkan serangan ke atas Iran.
“Saya hanya boleh beri jaminan kita tentu waspada. Kewaspadaan dan kesiapsiagaan itu perlu. Menganggap bahawa semuanya teratur dan terselamat itu suatu kelemahan besar dalam pemikiran kita.
“Jadi, sebab itu soal kedaulatan negara, maruah rakyat, itu bagi kita harus ada kesepakatan walaupun sama-sama tahu akan risikonya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul mengutuk serangan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berhubung siasatan terhadap dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Mohd Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan berkenaan melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kes yang dikaitkan itu memerlukan siasatan rapi memandangkan ia amat membimbangkan.
Beliau turut mengimbas sejarah negara pada peringkat awal kemerdekaan apabila wujud ancaman komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang menerima bantuan sisipan dari luar, namun ditolak rakyat sehingga berjaya ditewaskan.
“Maka jangan ada kemungkinan-kemungkinan begitu berlaku yang akan mengancam keselamatan negara kita,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








