BERITA SEMASAPMX

PM, isteri dijadual hadir Sambutan Maulidur Rasul, 4,000 peserta dijangka ambil bahagian

PUTRAJAYA – Kira-kira 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun dijangka memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual menghadiri sambutan berkenaan yang bertemakan ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’ bermula pukul 7.30 pagi itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

“Kira-kira 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun akan bersama-sama memeriahkan sambutan kali ini.

“Penganjuran kali ini mendapat kerjasama strategik UPM sebagai penyedia lokasi dan sokongan logistik bagi memastikan program berlangsung secara teratur dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M membabitkan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

“Pengiktirafan ini diberikan kepada individu yang memberi sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing kepada pembangunan agama, bangsa dan negara serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Mengenai tema sambutan, beliau berkata, ia dipilih bagi menyeru masyarakat menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam membina kehidupan yang maju, bersatu padu dan sejahtera.

Beliau berkata, tema itu mengambil inspirasi daripada pembentukan masyarakat Madinah yang diasaskan Rasulullah SAW, khususnya nilai akhlak, persaudaraan, keadilan dan tanggungjawab bersama, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara pengisian utama sambutan ialah perarakan kontinjen dengan alunan selawat, Program Bicara Khas Wanita serta program anjuran Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

“JAKIM turut memperluas penghayatan Maulidur Rasul menerusi edisi khas Podcast JAKIM Untuk Ummah serta kapsul ‘Uswatun Hasanah’ di Radio Zayan yang menampilkan mesej berkaitan keperibadian, akhlak dan teladan Rasulullah SAW,” katanya.

Sirajuddin berkata, sambutan tahun ini dilaksanakan secara sederhana namun tetap meriah, berprestij dan bermakna tanpa menjejaskan penghayatan, kemuliaan serta objektif utama program dalam memperkukuh syiar Islam.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan yang berlangsung hingga 12 tengah hari itu, selain turut disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1 serta beberapa saluran radio dan media sosial rasmi JAKIM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button