BERITA SEMASAPMX

Piala FIFA–ASEAN dilancar, era baharu bola sepak serantau

KUALA LUMPUR – Kejohanan baharu Piala FIFA–ASEAN yang dilancarkan secara rasmi sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara semalam menandakan permulaan era baharu dalam kerjasama bola sepak serantau.

Majlis pelancaran itu turut disertai dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ASEAN yang diwakili Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Giovanni Vincenzo Infantino yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan kekuatan bola sepak serantau.

Anwar berkata, Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak kali ini berasa amat berbesar hati menjadi lokasi kepada detik bersejarah yang bakal memperkukuh pembangunan bola sepak di rantau ini.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan kekuatan bola sepak dalam memupuk pembangunan budaya, kemajuan sosial dan keamanan serantau,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Tambah beliau, perkembangan pesat bola sepak di Asia Tenggara membuktikan keupayaan sukan itu menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dan budaya.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menekankan kepentingan pemberdayaan belia, keterangkuman sosial serta kerjasama serantau agar bola sepak terus berkembang secara mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

Pelancaran Piala FIFA–ASEAN disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh diplomasi sukan dan mempererat hubungan antara negara anggota ASEAN melalui semangat kesukanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button