BERITA SEMASAPMX

PM dijangka umum langkah penting tangani isu rakyat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa langkah penting berkaitan isu kritikal negara ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), esok.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, amanat tersebut akan disampaikan selepas Anwar mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada pukul 9 pagi bagi membincangkan isu mendesak yang sedang dihadapi rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri memanggil Jemaah Menteri untuk mengadakan mesyuarat khas berhubung beberapa perkara terdesak sebelum menyampaikan amanat berkenaan pada pukul 11.30 pagi bersama warga JPM.

“Selepas itu, beliau akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu jam 11.30 pagi bersama warga JPM yang dijangka menjadi platform penting untuk mengumumkan langkah baharu kerajaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di Melaka, hari ini.

Loke berkata, pengumuman yang bakal dibuat itu mencerminkan keseriusan Perdana Menteri serta pimpinan kerajaan dalam menangani pelbagai isu rakyat, khususnya melibatkan sektor ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi.

“Saya yakin esok akan ada beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri yang menunjukkan komitmen tinggi kerajaan dalam menangani isu serta masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan maklum balas diterima, isu ekonomi kekal sebagai antara keutamaan utama apabila komuniti perniagaan menyuarakan kebimbangan terhadap persekitaran dan iklim perniagaan yang dilihat kurang memberangsangkan.

Katanya, antara perkara yang dijangka diberi perhatian ialah langkah menangani rungutan komuniti perniagaan termasuk berkaitan pemulangan semula cukai serta inisiatif lain bagi merangsang keyakinan ekonomi.

“Dalam isu ekonomi, komuniti perniagaan mengeluh berdepan pelbagai cabaran dan saya yakin pengumuman positif akan dibuat esok untuk menangani isu kritikal seperti ini.

“Amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri itu bukan sekadar ucapan, sebaliknya akan menggariskan hala tuju negara dan kerajaan sepanjang tahun ini dengan penekanan terhadap pelaksanaan serta tindakan susulan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button