
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan bermesyuarat malam ini
KUALA LUMPUR – Persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri dijangka menjadi agenda penting mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, di sini malam ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin lain yang hadir termasuk Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan, dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.
Awal hari ini, Zahid berkata, kerajaan perpaduan mempunyai beberapa formula yang lebih sesuai dengan situasi semasa bagi tujuan pembahagian kerusi dan perkara itu akan diselesaikan secara dalaman.
“Kita di peringkat negeri telah mengadakan perbincangan soal pembahagian kerusi biarpun belum dimuktamadkan, kita yakin komposisi pembahagian itu akan mengikut beberapa kesesuaian daripada kerusi yang telah dimenangi BN sendiri dan dimenangi parti-parti dalam PH.
“…kami telah mengambil keputusan perbincangan harus diadakan antara BN dan PH bukan oleh parti-parti yang ada dalam komponen itu, malam ini kami akan mengadakan mesyuarat penyelarasan kerajaan perpaduan iaitu 19 parti akan terlibat membincangkan tentang beberapa isu pilihan raya di enam negeri ini,” kata Ahmad Zahid lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







