BERITA SEMASA

Presiden Erdogan doakan kejayaan Kerajaan Perpaduan dalam PRN di 6 negeri

KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan belangsung pada 12 Ogos ini.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau mengadakan pertemuan secara maya bersama Presiden Turkiye itu, semalam.

“Saya turut menyampaikan salam Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) serta keluarga kepada Amina dan keluarga dan keinginan untuk bersua muka dalam kesempatan terdekat.

“Dalam sesi ini, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan saya untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka dengannya semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dan Presiden Erdogan turut berbincang mengenai kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.

“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

“Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023.

“Kami turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan
kekaguman dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia – Turkiye.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.

“Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6 peratus). Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamophobia iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden.

“Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.

“Lantaran itu Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button