Anwar bidas Sanusi, tegaskan tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum di Malaysia
BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada mana-mana pemimpin di negara ini boleh mengeluarkan kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap mana-mana kaum kerana Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan penerimaan antara masyarakat berbilang kaum.
Beliau berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 70 tahun lalu, kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya.
Menurut Anwar, majoriti orang Melayu sememangnya berasal dari Tanah Melayu, namun terdapat juga yang mempunyai keturunan dari Indonesia, China, Korea dan negara lain yang telah diterima sebagai rakyat Malaysia.
“Apa lagi dalam kalangan masyarakat Cina atau India yang taat kepada negara, menerima Perlembagaan dan menjadi warganegara yang baik. Semua ini harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia.
“Jadi, saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Terdahulu Anwar merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap pada satu ceramah di Jempol, Negeri Sembilan, yang menyatakan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tanah air mereka, manakala orang India mempunyai India dan orang Cina mempunyai China.
Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi turut mengajak PAS dan UMNO kembali bersatu bagi mempertahankan bangsa dan agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








