PMX

Kelewatan baja pesawah: Anwar arah SPRM jalankan siasatan

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kelewatan pembekalan bantuan kepada pesawah, khususnya di Kedah, termasuk meneliti syarikat yang diberikan tanggungjawab menguruskan bekalan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan yang berlaku berulang kali sehingga menjejaskan golongan petani dan pesawah.

Menurutnya, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya akhirnya ditanggung rakyat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Yang siasat bukan saya. Yang siasat itu pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata, setiap kes perlu diteliti secara menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab sebelum sebarang tindakan diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau menegaskan, kelewatan pembekalan bukan sekadar polemik politik, sebaliknya membabitkan kecekapan pentadbiran serta kebajikan rakyat yang bergantung kepada hasil pertanian negara.

Mengulas kelewatan pengedaran baja kepada pesawah, Perdana Menteri mengakui menerima rungutan dan kemarahan daripada golongan yang terkesan dengan masalah tersebut.

“Saya terima kemarahan itu. Jadi kita perlu cari puncanya. Syarikat mana yang diberi amanah, dan mengapa perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati syarikat yang dilantik gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi.

Menurutnya, syarikat yang berulang kali melakukan kesilapan sehingga menjejaskan kepentingan petani dan pesawah tidak wajar terus diberikan tanggungjawab yang sama.

“Kalau syarikat seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan. Ambil syarikat baharu. Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa,” tegasnya.

Anwar turut menegaskan, tindakan undang-undang perlu dipertimbangkan sekiranya terdapat asas yang kukuh, termasuk kemungkinan pendakwaan dan siasatan oleh SPRM.

“Kalau perlu dihadapkan ke mahkamah, hadapkan ke mahkamah. Kalau perlu didakwa, SPRM masuk,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.

Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.

Keadaan itu turut dibimbangi akan meningkatkan lagi kebergantungan Malaysia terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button