JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki disyaki samun dan cederakan wanita di Batu Gajah ditahan

IPOH – Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, semalam.

Suspek ditahan kira-kira jam 9.50 malam di tepi Jalan Kledang, di sini, hasil risikan polis susulan kejadian yang turut tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.47 pagi ketika mangsa lelaki berusia sekitar 30-an bersama keluarganya pulang ke rumah sebelum mendapati suspek berada di dalam kediaman mereka.

Menurutnya, mangsa cuba menahan suspek sebelum berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu, namun terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya cuba melarikan diri menggunakan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan rumah mangsa.

Bagaimanapun, suspek terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta sebuah beg sandang yang mengandungi beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Sebelum itu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan antara mangsa dan suspek, termasuk cubaan suspek melarikan diri dari kediaman berkenaan.

Hasil pemeriksaan di rumah mangsa mendapati tiada barangan dilaporkan hilang, namun tombol pintu hadapan rumah didapati rosak dipercayai akibat diumpil.

Polis turut mendapati bilik tidur utama dan almari di rumah berkenaan telah diselongkar sehingga menyebabkan keadaan berselerak.

Md Noor berkata, mangsa dan isterinya telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button