Sabah rekod kerugian cecah RM17.3 juta akibat vandalisme, curi infrastruktur telekomunikasi
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan pemain industri bagi membanteras kegiatan vandalisme serta kecurian infrastruktur telekomunikasi di negeri itu.
Menurut MCMC, usaha bersepadu berkenaan memberi tumpuan untuk memutuskan rantaian kegiatan berkenaan daripada lokasi kejadian sehingga ke saluran penjualan komponen yang dipercayai dicuri.
MCMC berkata, vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi bukan sahaja mengakibatkan kerosakan aset, malah berpotensi menjejaskan perkhidmatan komunikasi yang menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian rakyat.
“Ia termasuk aspek pendidikan, urusan perniagaan, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta komunikasi ketika kecemasan.
“Bagi tempoh 2025 hingga Jun lalu, sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi direkodkan di Sabah membabitkan 257 tapak telekomunikasi di 23 daerah, dengan anggaran kerugian mencecah RM17.3 juta akibat vandalisme, kerosakan dan kecurian komponen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, gangguan berkenaan turut menjejaskan capaian komunikasi penduduk setempat serta akses kepada perkhidmatan digital, pembelajaran dalam talian dan pelbagai urusan harian yang bergantung kepada sambungan telekomunikasi stabil.
Sehubungan itu katanya, usaha membanteras kegiatan berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada tindakan di lokasi kejadian.
Sebaliknya katanya, ia perlu merangkumi perkongsian maklumat dan risikan, pemantauan lokasi berisiko, pengesanan modus operandi serta tindakan terhadap rangkaian jual beli komponen yang disyaki diperoleh secara tidak sah.
Sementara itu katanya, dari sudut perundangan, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan bahawa perbuatan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian atau mana-mana bahagiannya merupakan satu kesalahan.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk berkongsi maklumat berkaitan modus operandi kecurian, teknologi keselamatan, amalan terbaik serta pendekatan penguatkuasaan bagi melindungi infrastruktur telekomunikasi.
MCMC berkata, kerjasama berterusan dengan Kerajaan Negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, industri dan masyarakat amat penting bagi memperkukuh perlindungan infrastruktur telekomunikasi sebagai aset strategik negara.
Menurutnya, usaha memutuskan rantaian vandalisme dan kecurian daripada tapak sehingga ke pasaran penting bagi memastikan rangkaian komunikasi terus berfungsi, pelaburan pembangunan dapat dimanfaatkan secara optimum serta rakyat Sabah menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti dan boleh dipercayai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








