LUAR NEGARA

Israel akhirnya akui pasukan tenteranya membunuh Hind Rajab

BAITULMAQDIS – Israel buat pertama kali mengakui pasukan tenteranya membunuh kanak-kanak Palestin berusia lima tahun, Hind Rajab, di Gaza pada Januari 2024, selepas lebih dua tahun menafikan terlibat dalam insiden berkenaan.

Tentera Israel pada Rabu berkata siasatan jenayah dalaman akan dibuka terhadap kematian Hind pada 29 Januari 2024 serta 15 petugas kecemasan dan bantuan yang terbunuh dalam kejadian berasingan pada Mac 2025.

Hind terbunuh selepas kenderaan dinaikinya bersama enam anggota keluarganya diserang ketika melalui utara Gaza.

Kanak-kanak itu dilaporkan terselamat daripada serangan awal dan kemudian menghubungi petugas Bulan Sabit Merah Palestin untuk mendapatkan bantuan.

Dalam rakaman panggilan telefon yang berlangsung selama beberapa jam, Hind merayu supaya pasukan penyelamat datang membawanya keluar dari kenderaan tersebut.

Sebuah ambulans yang dihantar untuk menyelamatkannya turut diserang ketika menuju ke lokasi kejadian.

Mayat Hind dan anggota keluarganya ditemukan 12 hari kemudian di dalam kenderaan yang dipenuhi kesan tembakan.

Rakaman perbualan Hind dengan petugas Bulan Sabit Merah mencetuskan kemarahan antarabangsa serta meningkatkan tuntutan supaya pihak bertanggungjawab terhadap kematiannya dan ribuan kanak-kanak lain di Gaza diheret ke muka pengadilan.

Sebelum ini, Israel menafikan terlibat dalam kematian Hind dan mendakwa hasil siasatan awal mendapati pasukannya tidak berada berhampiran kenderaan tersebut atau dalam jarak tembakan.

Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharunya, tentera Israel berkata keputusan membuka siasatan jenayah dibuat selepas meneliti penemuan berkaitan insiden berkenaan.

“Selepas meneliti hasil siasatan, pihak tentera memutuskan untuk membuka siasatan jenayah berhubung insiden itu, termasuk dakwaan kegagalan penyelarasan pergerakan ambulans Bulan Sabit Merah Palestin,” menurut kenyataan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Kisah Hind turut mendapat perhatian dunia menerusi filem The Voice of Hind Rajab yang diadaptasi daripada insiden berkenaan dan dicalonkan untuk Anugerah Oscar 2026.

Sementara itu, usaha pengantara antarabangsa masih diteruskan bagi mengukuhkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Menurut angka yang diberikan dalam laporan tersebut, pelanggaran perjanjian berkenaan mengakibatkan 1,266 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 4,200 lagi cedera.

Konflik di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin dan menyebabkan kemusnahan besar di seluruh wilayah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button