Polis tahan pengarah syarikat, disyaki pecah amanah projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki melakukan pecah amanah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani, Kedah yang kini terbengkalai.
Suspek wanita berusia 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di ibu negara, pukul 3 petang tadi, lapor portal Buletin Utama.
Difahamkan, mangsa berusia 57 tahun yang juga pemegang saham utama syarikat telah membuat laporan polis berkaitan urusan pembelian saham syarikat sekitar April hingga Jun 2024.
Tujuan pembelian saham itu dipercayai adalah untuk pemilikan bersama syarikat-syarikat yang terlibat ke atas tanah di Kedah yang dikatakan akan dibina litar perlumbaan.
Mangsa telah membuat pembayaran RM40 juta bagi tujuan pembelian saham dan mendapatkan tanah tersebut.
Difahamkan, suspek selaku pengarah syarikat sebaliknya menggunakan wang pembayaran untuk tujuan lain sehingga menyebabkan hak milik tanah tidak dapat dipindahkan mengikut perjanjian asal.
Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembinaan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani bernilai RM75 juta mungkin melibatkan unsur penyelewengan.
Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan pihak berkuasa sebelum sebarang tindakan lanjut bakal diambil ke atas pihak terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






