JENAYAH & MAHKAMAH

Polis sambung reman suspek kedua kes kematian pelajar di asrama Kuala Pilah

KUALA PILAH – Polis menyambung reman suspek kedua yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini pada 25 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, tempoh reman pertama terhadap pelajar lelaki berusia 16 tahun itu tamat 3 Oktober lepas.

“Terdahulu, suspek kedua ini direman selama tujuh hari sehingga 3 Oktober lalu. Bagi membantu siasatan, satu permohonan sambung reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban, Sabtu lalu.

“Mahkamah membenarkan tempoh reman disambung selama enam hari sehingga 9 Oktober ini,” katanya kepada HM Online, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai siasatan kes berkenaan, beliau berkata, kertas siasatan kini hampir disiapkan.

“Berkenaan siasatan dan pertuduhan, pihak polis akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat (timbalan) pendakwa raya petang esok sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Polis masih menjalankan siasatan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Beliau turut menambah, pihaknya masih belum menerima laporan ujian toksikologi daripada Jabatan Kimia mengenai punca kematian pelajar lelaki berusia 14 tahun itu.

Laporan media sebelum ini menyebut, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di mana dia disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis turut menyiasat kemungkinan wujud unsur buli berhubung kematian pelajar itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button