JENAYAH & MAHKAMAH

Tersasar susur MEX ke Puchong punca pemandu Myvi pandu lawan arus

SEPANG – Tindakan seorang lelaki memandu kereta secara melawan arus di susur masuk Lebuhraya MEX, Lingkaran Putrajaya yang tular di media sosial, dipercayai akibat tersasar laluan menuju ke Puchong.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asistan Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sepang mengesan video berdurasi 25 saat yang dimuat naik di laman Facebook Dashcam Owners Malaysia.

norhizam
Ketua Polis Daerah Sepang, Asistan Komisioner Norhizam Bahaman. Norhizam Bahaman.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan sebuah Perodua Myvi berwarna merah dipandu secara melawan arus di susur masuk ke Lebuhraya MEX, Lingkaran Putrajaya, pada kira-kira 10.30 pagi semalam.

“Susulan video yang tular itu, BSPT IPD Sepang bertindak mengesan pemandu dan kenderaan terbabit.

“Hasil tindakan berkenaan, pemandu dan kenderaan berjaya dikesan sebelum dibawa ke BSPT IPD Sepang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizam berkata, siasatan mendapati pemandu terbabit datang dari arah Putrajaya menghala ke Puchong sebelum dipercayai terlepas laluan ke arah Plaza Tol MEX (Putrajaya).

“Pemindahan laluan itu menyebabkan pemandu berkenaan dipercayai membuat pusingan untuk berpatah balik dengan memandu secara melawan arus bagi mendapatkan semula laluan menuju ke arah Puchong.

“Semasa melalui laluan itu, pemandu memasang lampu kecemasan dan memandu secara perlahan sejauh kira-kira 30 meter sebelum memasuki laluan menuju ke arah Puchong,” katanya.

Beliau berkata, pemandu berkenaan adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja dalam sektor awam dan memiliki lesen memandu yang masih sah.

Menurutnya, kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.

“Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.

Norhizam turut meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Kogielavaani Ayyasamy di talian 014-6694721 atau 03-87774264.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button