BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Remaja tunggang motosikal lawan arus serah diri

ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan yang tular menunggang motosikal secara melawan arus sambil menggunakan telefon bimbit di Lebuhraya Utara-Selatan, ditahan polis selepas menyerah diri di Balai Polis Trafik Daerah Kota Setar, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek hadir menyerah diri sekitar pukul 9 malam, susulan aksinya berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung, pada 4 Julai lalu, tular di media sosial.

“Polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian. Remaja itu mendakwa tersilap laluan dan bergantung kepada aplikasi navigasi dalam telefon bimbitnya untuk pulang ke Pendang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Siti Nor Salawati turut menegaskan bahawa tindakan seperti yang dirakam dalam video berkenaan bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Polis Kota Setar tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya. Pengguna dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan demi keselamatan bersama,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi beberapa saat memaparkan seorang wanita menunggang motosikal melawan arus sambil bermain telefon berhampiran tol Hutan Kampung, mencetuskan kemarahan netizen kerana perbuatannya mengundang risiko kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button