Polis Melaka siasat video fitnah dakwa anggota trafik dahulukan konvoi VIP
MELAKA – Polis Melaka membuka kertas siasatan bagi mengesan individu yang menularkan video mendakwa anggota trafik mengutamakan laluan konvoi kenderaan orang kenamaan (VIP) berbanding ambulans, seperti tular di media sosial sejak kelmarin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih itu kerana bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah mencemarkan imej dan kredibiliti pasukan polis.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dakwaan dalam video berkenaan adalah tidak benar.
“Ketika kejadian, bunyi siren yang kedengaran bukan daripada ambulans seperti didakwa, sebaliknya siren motosikal polis yang sedang menjalankan tugas pengiringan,” memetik laporan BH online.
Dzulkhairi berkata, polis sentiasa terbuka menerima maklumat atau aduan daripada orang awam berkaitan kes jenayah dan salah laku anggota, namun menegaskan tuduhan palsu yang berniat jahat tidak akan dikompromi.
“Kalau ada maklumat benar, kita alu-alukan.
“Tetapi jika ia melibatkan fitnah dan berniat menjatuhkan maruah pasukan, kita tidak akan berdiam diri dan tindakan tegas akan diambil,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat, khususnya yang membabitkan pihak berkuasa, kerana ia boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap polis.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya turut menerima memorandum daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan sokongan dan solidariti terhadap pasukan polis Melaka.
Sebelum ini, polis menafikan dakwaan bahawa anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menghalang laluan ambulans, sebaliknya anggota terbabit sedang menjalankan tugas mengiringi Konvoi Delegasi China Pelabur Insentif bagi tujuan promosi pelancongan negeri.
Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi dan rakaman video mengenainya menjadi tular di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








