BERITA SEMASADALAM NEGERI

SPRM siasat dakwaan pengubahan wang RM2.5 bilion libat pengurusan tertinggi IJM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dakwaan kewujudan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion yang didakwa membabitkan pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd.

Portal berita Scoop yang memetik sumber melaporkan, SPRM mengenal pasti dua eksekutif IJM sebagai individu berkepentingan dalam siasatan tersebut namun kedua-duanya kini berada di luar negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM

“Maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut sumber, siasatan awal itu dijalankan susulan tindakan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom yang turut menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan pelaburan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua individu berkenaan.

Bagaimanapun, sumber SPRM memaklumkan bahawa agensi itu masih dalam proses mengumpul maklumat dan kertas siasatan rasmi belum dibuka setakat ini.

Difahamkan, SPRM juga sedang meneliti kemungkinan berlakunya manipulasi harga saham yang mempunyai kaitan dengan dakwaan pengubahan wang haram tersebut.

Kes berkenaan dilihat berpotensi memberi kesan terhadap cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Bhd melalui urus niaga tunai dan saham mega bernilai lebih RM11 bilion.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa SPRM telah menghubungi Sunway bagi mendapatkan kerjasama membantu siasatan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 12 Januari lalu, Sunway mengumumkan telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM untuk memperoleh kesemua 3.5 bilion saham syarikat itu pada harga RM3.15 sesaham.

Sunway dikawal oleh pengasas dan pengerusinya, Tan Sri Jeffrey Cheah yang memiliki 0.5 peratus kepentingan langsung dan 60 peratus kepentingan tidak langsung dalam kumpulan tersebut.

Hampir separuh saham IJM pula dimiliki oleh entiti berkaitan kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham terbesar dengan 16.8 peratus, selain Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Cadangan pengambilalihan itu menerima kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang mempersoalkan kewajaran langkah tersebut memandangkan IJM masih mencatatkan keuntungan serta ditadbir urus dengan baik.

Sementara itu, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) berpandangan urus niaga berkenaan berisiko menggugat pegangan ekuiti Bumiputera, menjejaskan kepentingan negara serta meletakkan penilaian terlalu rendah terhadap IJM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button